Friday, July 10, 2009

amalan baik tidak patut ditangguh

SUATU peristiwa yang paling pasti di dalam kehidupan ialah maut kita sendiri. Walaupun ia pasti berlaku, kita tidak tahu bila ia akan tiba. Oleh yang demikian, kita harus benar-benar insaf bahawa kita boleh meninggal dunia pada bila-bila masa saja.Apabila kita sudah meninggal dunia, maka kesempatan kita untuk sujud kepada kebesaran Allah dan berusaha mengikuti ajarannya sudah tidak ada lagi. Jika kita tidak berhati-hati, kesibukan serta tipu daya dunia boleh membuat kita lupa akan pertemuan di akhirat nanti.Tambahan pula, apabila agama telah menjadi satu ikutan warisan atau budaya semata-mata dan tidak lagi sebagai satu tanggungjawab peribadi, maka kita sudah meletakkan agama pada tahap yang kurang utama dalam kehidupan kita.Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan gurauan sedang mereka telah terpedaya dengan kehidupan di dunia. Maka pada hari ini kami lupakan mereka, sebagaimana mereka telah melupakan pertemuan hari ini dan kerana mereka menyangkal ayat-ayat Kami.” – (Surah Al-A’raaf ayat 51)Setiap daripada kita mempunyai pilihan untuk memilih sama ada hendak hidup sebagai seorang yang percaya kepada Tuhan atau sebagai seorang yang tidak percaya atau pura-pura percaya kepada-Nya.Sekiranya kita benar-benar percaya kepada kewujudan Tuhan, maka kita akan berusaha melentur kehidupan kita supaya bersesuaian dengan ajaran-Nya. Kita akan yakin benar bahawa dengan mengikuti petunjuk-Nya, hidup kita akan berjaya di dunia dan akhirat.
Amalan baik tidak patut ditangguh..............................


Pada orang beriman, ayat 6 di dalam surah Al-An’aam bukan hanya suatu doa penyedap hati semata-mata tetapi suatu luahan hati yang mencerminkan perlakuannya: “Katakanlah, sesungguhnya solatku, dan ibadahku, dan hidupku, dan matiku, kesemuanya untuk Allah, pemelihara semesta alam.”Orang yang percaya Tuhan benar-benar takut kepada azab-Nya dan mensyukuri rahmat yang diberikan-Nya. Ia benar-benar beriman bahawa sekiranya Tuhan memberikan sesuatu kepadanya, tidak ada seseorang pun yang boleh menidakkannya dan sekiranya Tuhan menahan sesuatu, tidak ada seorang pun yang boleh memberikannya.Maka, Tuhan adalah pemberi yang sebenarnya. Sekiranya kita percaya perkara ini, tidak mungkin kita berkelakuan dengan cara melanggari ajaran-Nya atau bersikap sambil lewa terhadap memahami isi kandungan al-Quran.Dalam mencari rezeki, umpamanya, kita tidak akan berusaha mendapatkan pendapatan melalui cara rasuah atau dengan cara menyusahkan makhluk Tuhan, termasuk manusia serta alam sekitar. Cuma orang yang kurang yakin dengan pemberian Tuhan akan bertindak sedemikian.Begitu juga, kita tidak akan membenarkan kilauan kehidupan membohongi jiwa kita sehingga kita sanggup memutarbelitkan ayat Allah atau menyembunyikannya ekoran sebarang tujuan, termasuk takut kepada pandangan awam atau untuk menjaga kedudukan dalam masyarakat. Ini adalah sikap orang yang lebih takut kepada pelbagai berhala ciptaannya sendiri daripada takut kepada Tuhan.Sekiranya hidup kita dan mati kita adalah kerana Allah, adakah kita akan berkelakuan sumbang atau jahat terhadap manusia lain? Sudah tentu orang yang beriman kepada ayat berkenaan akan berusaha membaca al-Quran untuk mendapatkan petunjuk bagi memahami bagaimana caranya untuk hidup dan mati kerana Allah.Malangnya, kita dapati bahawa kebanyakan kita lebih selesa untuk hidup berpura-pura sesama sendiri sehingga ia terlambat.Bagi mereka yang mahu, mereka harus mengambil iktibar daripada firman Allah dalam surah Sajdah ayat 12 yang bermaksud: “Kalau kamu dapat melihat, ketika orang berdosa menundukkan kepalanya di sisi Tuhannya (lalu berkata): Ya Tuhan kami, telah kami lihat dan telah kami dengar (seksa yang kami mungkiri masa dahulu); maka kembalikanlah kami (ke atas dunia) supaya kami akan kerjakan amalan soleh kerana kami telah yakin.”Di dalam surah di atas, kita dapati manusia yang tidak yakin semasa berada di muka bumi merayu kepada Tuhan supaya diberikan peluang untuk kembali ke dunia untuk melakukan kebaikkan. Malangnya masa itu sudah terlambat.
Amalan baik tidak patut ditangguh................


Kita harus berwaspada dan sentiasa menjalankan kehidupan kita supaya kita tidak tergolong dalam golongan yang malang itu. Namun, walaupun ayat ini dihadapkan kepada semua manusia, hanya mereka yang mahu percaya akan percaya.Bagi mereka yang ada penyakit di dalam hati mereka, sikap mereka akan seperti firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 124 hingga 125 yang bermaksud: “Apabila diturunkan satu surah, maka di antara mereka (munafik) ada yang berkata: Manakah ayat yang menambah keimananmu? Adapun bagi orang yang beriman, makin bertambah keimanannya, sedang mereka itu bergembira.” – (9:124)“Adapun orang yang dalam hatinya ada penyakit, bertambah kekotorannya kepada kekafiran dan mereka mati sedang mereka orang kafir.” – (9:125)Apabila dikatakan “hidup kerana Tuhan”, sudah tentu ia bermakna keseluruhan kehidupan kita daripada muda atau sejak kita diberikan pengetahuan-Nya sehingga tua. Kehidupan juga merangkumi segala aspek kehidupan kita.Oleh yang demikian, tidak wujud sebarang pembahagian kepada “sekular atau agama”. Oleh kerana kita tidak boleh tahu panjangnya hayat kita, maka kita semestinya bergegas untuk memperolehi pengetahuan daripada-Nya.Pengetahuan ini penting untuk melahirkan cara hidup yang konsisten dengan ajaran Tuhan. Kita tidak boleh menanti sehingga tua untuk ‘beribadat’. Sekiranya kita berfikiran sedemikian, ini bermakna kita sengaja tidak mahu berusaha untuk menjalankan kehidupan kita berdasarkan ajaran-Nya dari sekarang.Kita meletakkan keutamaan kepada perkara lain dan lupa kepada pertemuan kita dengan Allah kelak. Sekiranya kita tidak mengutamakan ajaran Allah, adakah Allah akan mengutamakan kita?Kita boleh mengambil iktibar daripada surah Sajdah ayat 14 yang bermaksud: “Sebab itu rasailah olehmu (seksa itu) kerana kamu telah melupakan pertemuan hari ini, sesungguhnya Kami telah melupakan kamu pula, dan rasailah olehmu seksa yang kekal kerana (apa) yang telah kamu kerjakan.”Orang seperti ini yang lebih takut kepada bayang-bayang dunia yang sementara saja akan diazab berkekalan oleh Allah. Kekayaan, kuasa, kedudukan, sahabat, pemimpin, guru dan keluarga semuanya akan terputus daripada kita apabila kita mati.Namun di dunia, kita lebih dipengaruhi oleh pertimbangan perkara-perkara ini daripada penemuan pasti kita dengan Allah.
Amalan baik tidak patut ditangguh..................


Penipuan diri seperti inilah yang menjadikan manusia sombong, tidak berkasih sayang serta bersikap penindas di muka bumi.

Mereka leka dengan kedudukan sementara mereka serta kepandaian yang dipinjamkan kepada mereka. Kita perlu ingat bahawa kekufuran Iblis diakibatkan oleh sifat kesombongannya seperti firman Allah di dalam ayat 34 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan apabila Kami berkata kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud kecuali Iblis. Ia enggan, dan ia sombong, dan ia menjadi antara orang yang tidak percaya (kafir).”Jelas bahawa sifat sombong itu amat berbahaya sehingga boleh menjadikan seseorang itu kufur terhadap ajaran Allah. Seorang yang sombong akan menganggap dirinya serba tahu dan ia tidak akan mahu belajar perkara yang ia tidak tahu atau tidak bersesuaian dengan keinginannya.Kesombongan menghalang seseorang daripada menginsafi kecacatannya sebagai seorang manusia. Apabila ia memperolehi suatu pengetahuan yang ia suka, maka ia akan taksub kepadanya sehingga mengetepikan pandangan lain tanpa menilainya terlebih dahulu. Tidak mustahil juga ketaksubannya pada satu pandangan atau fahaman menjadikannya orang yang menyangkal ajaran Allah yang sebenar.Walaupun ayat al-Quran ditunjuk kepada orang seperti ini berkaitan dengan suatu perkara, ia akan menolaknya dengan pelbagai dalih. Ia lebih rela berpaut kepada apa yang pernah ia dengar tanpa membandingkannya dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya.Allah berfirman di dalam surah al-Mukmin ayat 35 yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang membantah ayat Allah tanpa keterangan yang sampai kepada mereka. Amatlah besar kebencian di sisi Allah, dan di sisi orang yang beriman (terhadap mereka); Demikianlah Allah menutup setiap hati orang yang sombong, dan sewenang-wenang.”Orang yang mengaku Islam sebulat suara akan mengaku bahawa Ramadan adalah bulan yang mulia kerana di dalam bulan inilah Allah Yang Maha Mengasihani telah menurunkan al-Quran sebagai panduan kepada manusia.Dengan turunnya Al-Quran, manusia telah diajak untuk berfikir secara kritis supaya dapat membezakan kebenaran dan kepalsuan. Sekiranya kita tidak pernah membaca maksud al-Quran sebelum ini, mungkin bulan Ramadan ini adalah peluang yang diberikan Allah kepada kita untuk memahami ajaran-Nya... sebelum telambat.

No comments:

Post a Comment